In the news - apa-apa boleh berlaku ...

Meja melayang hempap kepala
Oleh Aniza Zainudin (Metro, 24.01.2011)

     
AMPANG: Niat seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tasik di sini, menghadiri kelas bahasa Inggeris terbantut apabila dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas kepalanya cedera ditimpa meja yang dipercayai dibaling dari tingkat empat bangunan sekolahnya.
Ketika kejadian Rabu lalu, Asyraf Sabiq Samad, 14, dalam perjalanan ke kelas kira-kira jam 1.15 tengah hari selepas berhimpun di padang bola tampar sebelum memulakan sesi persekolahan dan menunggu pelajar sesi pagi menamatkan pembelajaran.

Menurutnya, pada mulanya dia ternampak satu objek dijatuhkan dari tingkat atas bangunan, namun gagal mengenal pasti objek terbabit.

“Ketika mendongakkan kepala, 'sesuatu' bersaiz besar menimpa kepala saya dan saya tak sempat mengelak,” katanya.

Sejurus kejadian katanya, kepala, muka dan kedua-dua belah tangannya dipenuhi darah sebelum dibawa ke bilik guru disiplin sekolah untuk dibersihkan dan kemudian dihantar ke Hospital Ampang.

Asyraf menerima empat jahitan di dahi, manakala hidungnya turut tercedera.
Ibunya, Mariam Kamarudin, 42, terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa anak sulungnya itu dan bergegas ke hospital.

“Kaki saya seperti tidak mencecah bumi apabila menerima berita itu dan sejurus tiba di hospital, saya lihat kepala Asyraf sudah berbalut sambil ditemani tiga guru.

“Apabila saya meminta penjelasan daripada pengetua, dia menyatakan pihak sekolah sudah menyiasat dan mengetahui pelajar yang melakukannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Mariam berkata, pengetua berkenaan memberitahu perbuatan itu dilakukan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikatakan mengganas selepas gagal mendapatkan bekalan ubatnya.

Lebih menghairankan, katanya pelajar berkenaan turut ditempatkan dalam kelas normal kononnya kerana dia pintar seperti pelajar lain sedangkan pelajar OKU sepatutnya ditempatkan dalam kelas khas.

“Mulanya saya rasa lega apabila mengetahui maklumat berkenaan, malah pelajar terbabit sudah dibawa pulang ke rumahnya selepas kejadian.

“Tetapi, pihak sekolah menelefon suami (Samad Masaan, 58,) mengatakan kejadian itu mungkin dilakukan pelajar sesi pagi dan tidak membabitkan pelajar OKU berkenaan. Saya hairan apabila dimaklumkan pelajar OKU terbabit sudah digantung sekolah.

“Dari situ, ia mula menimbulkan keraguan di pihak kami. Jika benar bukan pelajar terbabit (OKU) melakukannya, kenapa dia dikenakan tindakan? Ini menunjukkan pihak sekolah seolah-olah bermain tarik tali dengan kami,” katanya.

Berikutan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Pandan Indah, di sini, semalam.

Mariam berkata, mereka sekeluarga langsung tidak berniat meminta pampasan daripada mana-mana pihak dan jika benar pelajar OKU itu melakukannya, pihak sekolah dan keluarganya perlu menghubungi mereka sekali gus meminta maaf.

Menurutnya, dia juga memahami keadaan kanak-kanak istimewa dan tidak seharusnya mereka dipersalahkan kerana mereka sentiasa perlukan perhatian.

Katanya, dia akan menghantar surat meminta penjelasan lanjut kepada pihak sekolah hari ini bagi mendapatkan maklumat lebih tepat sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Sementara itu, pengetua sekolah, Zaini Mohammad Zain mengesahkan kejadian itu dan proses penyiasatan sedang berjalan.

Mengulas mengenai pembabitan pelajar OKU, beliau menafikannya biarpun pada mulanya dia sendiri memaklumkannya kepada ibu bapa Asyraf.

Katanya, sejurus kejadian menimpa Asyraf, pelajar OKU itu turut menimbulkan kekecohan akibat tidak menerima bekalan ubat dan pelajar terbabit juga mengikuti pelajaran pada sesi petang.
Kata Pengetua: Apa-apa boleh berlaku di sekolah pada hari ini. Dalam kes di atas, siasatan terperinci patut dilakukan sebelum mengeluarkan kenyataan. Bila kenyataan telah dikeluarkan, amat sukar untuk menariknya balik. Kalau ditarik balikpun, orang sudah tidak percaya lagi! Disebabkan oleh kes begini, banyak masa berharga sekolah dibuang untuk menyiasat, membuat laporan, melayan siasatan luar, dsb. Akhirnya, sekolah hilang mood untuk mencapai kegemilangan. Kerja kita guru semakin mencabar. Bagaimanakah kita dapat melakukan langkah preventif supaya insiden begini tidak berlaku?

Memo dalaman - penggunaan telefon di kalangan guru semasa p&p

PERHATIAN SEMUA GURU

1. Sila ambil perhatian kepada jawapan KPM tentang perkara tersebut, seperti di bawah:

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin mengucapkan terima kasih dan merujuk kepada Laporan Akhbar MAKKAL OSAI bertarikh 29 Disember 2010 – Larangan kegunaan telefon bimbit.
 
Walaupun tiada Surat Pekeliling Ikhtisas atau surat siaran yang memaklumkan larangan menggunakan telefon bimbit oleh guru-guru ketika mengajar, namun pihak sekolah adalah diingatkan supaya sentiasa memastikan tiada sebarang bentuk gangguan berlaku ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran dijalankan termasuk penggunaan telefon bimbit.
 
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Memo dalaman - APC mulai 2011

PERHATIAN SEMUA GURU
 
Berikut adalah kriteria tambahan yang dimasukkan ke dalam kriteria untuk penerima APC mulai 2010:
i.                 bebas tindakan tatatertib / SPRM/ mahkamah pada tahun dipertimbangkan
ii.                mempunyai rekod kehadiran bertugas yang bersih
iii.               tidak pernah menerima APC 3 tahun ke belakang
iv.               pencapaian dalam p&p
v.                pencapaian dalam aktiviti kk
vi.               bebas daripada teguran audit
Bilangan penerima masih tidak boleh melebihi 8% daripada jumlah anggota yang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian berkenaan. Walau bagaimanapun, GST dan GSTT tidak boleh diambil kira dalam pengiraan jumlah keseluruhan anggota yang sedang berkhidmat bagi tujuan pemilihan 8% penerima APC kerana pegawai berkenaan tidak dan belum lagi dilantik oleh Pihak Berkuasa Melantik.

Motivasi diri - turn problem to solution

Kita selalu melihat masalah sehingga kita terbelengu olehnya. Kenapa tidak tukar masalah (isu) kepada penyelesaian.  
  

In the news

Berebut duit syiling di lebuh raya
Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI, 19.01.2011
zulkarnain.ali@kosmo.com.my


SEREMBAN - Kilometer 243 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan berhampiran susur keluar Pedas dekat sini yang sentiasa sibuk semalam bagaikan 'pesta' apabila orang ramai berebut-rebut mengutip duit syiling yang bertaburan di lebuh raya itu.
'Pesta' itu berlaku apabila sebuah kenderaan Toyota Hilux yang membawa satu peti duit syiling berjumlah RM75,000 terlibat dalam kemalangan.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, peti tersebut tercampak keluar dari pacuan empat roda itu selepas kenderaan itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta BMW.
Akibatnya ribuan duit syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen bertaburan di lebuh raya sepanjang kira-kira 100 meter.
Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna jalan raya menghentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan untuk mengutip duit syiling.
Kehadiran beberapa anggota polis dan pekerja lebuh raya gagal menyuraikan orang ramai yang terus mengutip duit syiling tanpa menghiraukan keselamatan mereka.
Orang ramai meninggalkan lokasi itu selepas duit syiling itu habis dikutip tiga jam kemudian.
Kata Pengetua: Di sekolah bermacam-macam nilai murni guru terapkan kepada pelajar. Tetapi, realiti di luar sana, ianya amat berbeza. Apabila duit tersebut bertaburan di atas jalan raya, duit itu masih ada pemilik, bukan hak ramai. Semua orang mengambil peluang, mungkin, mengutip untuk tuan punya duit itu (sangkaan baik saya). Lihat gambar di sini, di mana orang ramai mengutip duit itu depan pihak polis. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Memo dalaman - penularan penyakit ILI dan HFMD

PERHATIAN SEMUA GURU

Pihak Jabatan Kesihatan telah memaklumkan tentang peningkatan kejadian kes influenza-like illness (ILI) dan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Sekolah telah diminta untuk mengambil langkah-langkah berikut:
i.                 Meningkat pemantauan dengan membuat saringan (screening) terhadap pelajar
ii.                Meningkatkan aktiviti pemeriksaan dan disinfeksi dengan menggunakan cecair 10% klorox atau lain-lain detergent yang sesuai.


iii.               Pelajar yang menunjukkan tanda-tanda dan gejala jangkitan hendaklah diasingkan dengan berehat di rumah untuk tepoh sekurang-kurangnya 3 – 7 hari. Pelajar juga dinasihatkan untuk merujuk kes dengan pihak hospital.

Memo dalaman - perhimpunan sekolah

PERHATIAN SEMUA GURU

Setakat ini saya sudah mengadakan perhimpunan dengan pelajar Tingkatan 4 dan 5.
Inti sari ucapan saya semasa perhimpunan pelajar ialah:
i.                 What do you want? / Apa yang anda hendak? Kehidupan akan memberi kita apa yang kita hendak. Jika tidak pasti apa yang dihendaki, maka, apa sahaja yang terjadi adalah diterima. Sering orang menyalah ketentuan / persekitaran. Terjadilah mentaliti ”apa nak buat” / victim mentality.
ii.                Have you decided? Jika decision utama ini sudah dibuat, maka, tidak perlu banyak decision lain. Decision lain akan mengikuti decision utama itu. Contoh: Have you decided to pass your SPM? Jika pelajar sudah decided, maka tidak perlu lagi membuat decision sama ada hendak hadir sekolah atau ponteng sekolah / buat atau tidak kerja rumah / rambut panjang atau pendek, dsb.
iii.               Cari sebab, jangan beri alasan. Beri sebab kenapa harus buat kerja rumah – kerana untuk memahami dengan lebih mantap sesuatu topik. Jangan cari alasan kenapa tidak buat kerja rumah. Alasan tidak akan membantu untuk memahami topik tersebut.
Dengan ini, mana-mana guru boleh menyoal pelajar yang tidak mendengar teguran / nasihat / amaran guru. Katalah pelajar berambut panjang – tanya dia “Have you decided to be a good student?”. Atau, tanya dia “What do you want?”. Peraturan sekolah mengehendaki pelajar berambut pendek dan kemas. Kalau his want ialah untuk berambut panjang, sekolah bukalah tempat untuknya. Kenapa sekolah harus menerima dan melayannya?
Jika pelajar memberi berbagai-bagai alasan, tanya dia adakah alasan yang dia berikan itu membantu dia.